Rawatan Angin ahmar

Penilaian awal

Adalah penting bahawa angin ahmar dikenal pasti dengan seberapa cepat yang mungkin kerana pesakit-pesakit yang dirawat dengan lebih awal mungkin akan hidup dan pulih dengan lebih baik.

Jika seseorang pesakit disyaki menghidap angin ahmar, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan harus dihubungi dengan segera. Pesakit itu harus dihantar ke hospital terdekat yang boleh memberikan penilaian dan rawatan yang cepat dengan terapi-terapi terkini yang disasarkan pada jenis angin ahmar yang dihidapi. Lebih cepat terapi-terapi dimulakan, lebih besar kemungkinannya untuk dipulihkan bagi setiap jenis angin ahmar. Hanya pemeriksaan fizikal dan pengimejan perubatan dapat memberikan maklumat tentang kewujudan, jenis, dan takat angin ahmar. Keputusan-keputusan yang cepat tentang ubat dan keperluan untuk pembedahan telah ditunjukkan dapat memperbaik pemulihannya. Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa pesakit-pesakit yang dirawat di hospital-hospital yang mempunyai Pasukan atau Unit Angin Ahmar dengan rancangan penjagaan yang khusus dapat memperbaik kemungkinan untuk pemulihan.

Strok iskemia

Oleh sebab strok iskemia diakibatkan oleh trombus (bekuan darah) yang menyumbat sesuatu arteri serebrum, seseorang pesakit akan diberikan ubat antiplatelet (aspirin, klopidogrel, dipiridamol) atau ubat antikoagulasi (warfarin), bergantung kepada puncanya, apabila jenis angin ahmar ini ditemukan. Strok pendarahan harus dikesampingkan melalui pengimejan perubatan kerana terapi ini amat membahayakan pesakit-pesakit jenis angin ahmar ini.

Di semakin banyak pusat angin ahmar yang utama, trombolisis farmakologi ("pemecahan bekuan darah") digunakan untuk melarut bekuan dan menyahsumbatkan arteri. Bagaimanapun, kegunaannya terbatas oleh kekangan masa: lebih banyak masa berlalu, lebih besarnya bahagian otak yang mengalami kerosakan tak berbalik. Terdapat juga sedikit kemungkinan bahawa keadaan pesakit akan diburukkan kerana ia boleh mengakibatkan pendarahan. Ketika dipergunakan dalam tempoh tiga jam yang pertama, trombolisis memperbaik hasil seorang penyakit bagi setiap 3.1 orang, dan memburukkan hasil seorang bagi setiap 32 orang pesakit. Penggunaan trombolisis tidak dibenarkan selepas tiga jam. Sebagai suatu terapi yang mudah diberikan oleh mana-mana hospital yang memiliki pengimbas CAT, trombolisis kini boleh didapati di kebanyakan hospital di Amerika Syarikat, tetapi bukan di tempat-tempat yang tidak mempunyai kemudahan penjagaan angin ahmar.

Lagi satu rawatan untuk strok iskemia akut ialah pembuangan trombus yang terlibat secara langsung. Ini dilaksanakan melalui penyisipan kateter ke dalam arteri femoral yang kemudian ditujukan ke peredaran serebrum. Kateter itu mempunyai sebuah peranti bak skru pencungkil gabus untuk memerangkap bekuan darah yang kemudian dikeluarkan dari badan. Pada bulan Ogos 2004, FDA meluluskan sebuah peranti tersebut yang dikenali sebagai Merci Retriever. [3]

Baik trombosis dijalankan mahupun tidak, penyiasatan-penyiasatan yang berikut masih diperlukan:

Strategi-strategi segera yang lain untuk melindungi otak semasa menghidap angin ahmar termasuk memastikan bahawa aras gula darah adalah seberapa normal yang boleh (umpamanya, memulakan skala gelangsar insulin untuk pesakit yang diketahui menghidap kencing manis), dan bahawa pesakit menerima oksigen dan bendalir intravena yang mencukupi. Pesakit dibaringkan di atas tandu supaya kepalanya mendatar dan tidak dibenarkan duduk kerana kajian-kajian telah menunjukkan bahawa ini akan meningkatkan aliran darah ke otak. Terapi-terapi tambahan untuk strok iskemia termasuk aspirin (50 - 325 mg setiap hari), klopidogrel (75 mg setiap hari), serta gabungan aspirin dan dipiridamol pembebasan terlanjut (25/200 mg dua kali setiap hari).

Tekanan darah biasanya meningkat sejurus selepas menghidap angin ahmar. Bagaimanapun, kajian-kajian menunjukkan bahawa sedangkan tekanan darah tinggi mengakibatkan angin ahmar, ia sebenarnya memberikan manfaat semasa tempoh kecemasan kerana membenarkan pengaliran darah yang lebih baik ke otak.

Jika kajian-kajian menunjukkan kewujudan stenosis karotid dan pesakit itu masih mempunyai setakat fungsi pada sisi yang terjejas, endarterektomi karotid (pembuangan stenosis melalui pembedahan) mungkin dapat mengurangkan risiko ulangan. Sebaliknya, jika angin ahmar diakibatkan oleh aritmia kardium (seperti pemfibrilan atrium) bersama-sama embolus kardiogenik, rawatan aritmia dan antikoagulasi dengan menggunakan warfarin atau aspirin berdos tinggi mungkin dapat mengurangkan risiko ulangan.

Strok pendarahan

Pesakit-pesakit yang mengalami pendarahan masuk ke (pendarahan intraserebrum) atau di sekitar otak (pendarahan subaraknoid) memerlukan penilaian neurosurgeri untuk mengesan dan merawat punca pendarahan. Ubat-ubat antikoagulasi dan antitrombosis yang merupakan ubat yang penting untuk merawat strok iskemia boleh memburukkan pendarahan dan oleh itu, tidak boleh digunakan untuk pendarahan intraserebrum. Pesakit-pesakit diawasi dan tekanan darah, aras gula darah, dan pengoksigenan mereka dikekalkan pada aras-aras yang optimum.

Penjagaan dan pemulihan

Pemulihan angin ahmar ialah proses untuk pesakit yang mengalami ketakupayaan menjalani rawatan supaya dapat membantu mereka hidup secara biasa dengan seberapa yang dapat melalui pemerolehan dan pembelajaran semula kemahiran-kemahiran kehidupan sehari-hari. Ia juga bertujuan untuk membantu pemandiri memahami dan menyesuaikan diri terhadap kesusahan-kesusahan yang dialami, mencegah komplikasi sekunder, serta mendidik ahli-ahli keluarga supaya dapat memainkan peranan sokongan.

Pasukan pemulihan biasanya terdiri daripada ahli-ahli berbilang disiplin kerana ia melibatkan kakitangan-kakitangan yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang berbeza yang bekerjasama untuk membantu pesakit. Anggota-anggota pasukan termasuk kakitangan-kakitangan kejururawatan, fisioterapi, terapi pekerjaan, terapi pertuturan dan bahasa, dan biasanya juga seorang pakar perubatan yang terlatih dalam perubatan pemulihan. Sesetengah pasukan juga mempunyai ahli psikologi, pekerja sosial, dan ahli farmasi kerana sekurang-kurangnya satu pertiga daripada para pesakit mengalami kemurungan pasca strok.

Penjagaan perawatan yang baik adala penting untuk mengekalkan penjagaan kulit, penyuapan, penghidratan, penentududukan, dan pengawasan tanda-tanda yang penting seperti suhu, nadi, dan tekanan darah. Pemulihan angin ahmar dimulakan hampir dengan segera.

Bagi kebanyakan pesakit angin ahmar, terapi fizikal merupakan asas untuk proses pemulihan. Seringnya, teknologi bantuan seperti kerusi roda dan kerangka berdiri memberikan setakat faedah. Lagi satu jenis terapi yang melibatkan pembelajaran semula kegiatan sehari-hari ialah terapi pekerjaan (OT). OT melibatkan senaman dan latihan untuk membantu pesakit angin ahmar membelajari apa yang kekadang dipanggil kegiatan kehidupan sehari-hari (ADL) seperti memakan, meminum, menelan, menyalin pakaian, mandi, memasak, membaca, dan menulis, serta juga latihan buang air. Terapi pertuturan dan bahasa adalah sesuai untuk pesakit-pesakit yang mengalami masalah memahami pertuturan dan perkataan-perkataan tertulis atau untuk bertutur.

Pesakit-pesakit mungkin mengalami masalah-masalah yang khusus, seperti ketakupayaan langsung atau separa untuk menelan yang boleh menyebabkan bahan-bahan yang ditelan masuk ke dalam paru-paru dan mengakibatkan pneumonia sedutan. Keadaan ini mungkin boleh pulih dengan berlalunya masa tetapi buat sementara, sebatang tuib nasogastrik disisipkan ke dalam hidung untuk membolehkan makanan cecair untuk dimasukkan terus ke dalam perut. Jika penelanan masih tidak selamat selepas seminggu, jadi sebatang tiub gastrostomi endoskop perkutaneus dimasukkan dan ini boleh digunakan secara kekal.

Pemulihan angin ahmar boleh berlangsung antara beberapa hari sehingga berbulan-bulan. Kebanyakan pemulihan fungsi boleh dilihat pada beberapa hari atau minggu yang pertama, dengan pemulihan yang kemudian tidak sebegitu cepat. Walaupun demikian, pesakit-pesakit masih boleh terus mengalami perbaikan selama bertahun-tahun, dan memperoleh semula serta mengukuhkan keupayaan mereka untuk menulis, berjalan, berlari, dan bertutur. Pemulihan sepenuhnya adalah tidak biasa, tetapi bukannya tidak mungkin. Para pesakit angin ahmar umumnya akan dapat mencapai setakat perbaikan.